KUALA LUMPUR: Tayangan filem bertajuk Misi Bakara dan pameran aset ketenteraan merupakan antara program disediakan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) kepada pengunjung Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan diadakan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 hingga 10 Dis ini.

Mindef dalam kenyataan hari ini memaklumkan sempena program itu, pihaknya turut menyediakan pameran peluang kerjaya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan persembahan tempur tanpa senjata serta persembahan kawad senyap.

"Filem Misi Bakara akan ditayangkan pada 9 pagi Sabtu di Pentas Utama, manakala pameran aset ketenteraan, persembahan tempur tanpa senjata oleh Tentera Darat dan kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan berlangsung di tapak parkir B sepanjang tiga hari program berkenaan pada pukul 11 pagi dan 3 petang," menurut kenyataan itu.

Orang ramai juga boleh mengunjungi kaunter perkhidmatan dan bantuan veteran ATM serta pameran kerjaya ATM di reruai Mindef untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang berlangsung selama tiga hari di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyediakan pelbagai program seperti Jualan Mega MADANI serta Jualan Rahmah, dan ia disasar mampu menarik kehadiran sehingga 200,000 pengunjung.

-- BERNAMA